SELAIN penetapan tahun baru Hijrah pada awal Muharam, ada banyak peristiwa menarik dalam sejarah Islam berlaku sepanjang bulan Muharam yang sedang kita dilalui sekarang.Pada 10 Muharam, misalnya masyarakat Islam sering membuat sejenis bubur yang dinamakan bubur Asyura. Asyura itu diambil dari perkataan ‘Asyarah' dalam bahasa Arab yang bermaksud sepuluh. Jadi hari Asyura itu ertinya hari yang ke sepuluh bulan Muharam.Hari itu mengikut keterangan hadis yang sahih ialah hari bersejarah pada umat Yahudi pada zaman Nabi Musa as, kerana pada hari itu Allah menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya serta menenggelamkan Firaun.Junjungan Rasulullah juga memerintahkan umat Islam berpuasa sunat dan meluaskan perbelanjaan kepada keluarga pada hari itu.Hari Allah menurunkan nikmat atau azab pada manusia adalah dinamakan Hari Allah yang diminta kita selalu mengenanginya supaya menimbulkan rasa syukur atau insaf.Membuat bubur Asyura adalah berdasarkan riwayat yang daif mengatakan hari Asyura adalah hari Allah mengurniakan nikmat besar kepada nabi yang terdahulu semenjak Nabi Adam AS hingga pada Nabi Muhammad saw.Dalam peristiwa itu disebut Nabi Nuh as dan pengikutnya turun dari bahteranya pada hari Asyura berasa lapar dan dahaga selepas bekalan masing-masing habis, maka diperintahkan oleh Nabi Nuh supaya masing-masing membawa segenggam biji-bijian dari apa jenis yang ada pada mereka, maka terkumpullah tujuh jenis bijian yang dicampurkan kesemuanya lalu dimasak dan dijadikan bubur.Dengan berkat Nabi Nuh kenyanglah pengikutnya pada hari itu. Dari cerita inilah dikatakan sunat membuat bubur Asyura dari tujuh jenis biji-bijian untuk dijamukan kepada fakir miskin pada hari itu.Bulan Muharam mengikut pandangan Islam adalah bulan haram yang empat, iaitu bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Dalam empat bulan ini dilarang melancarkan peperangan kecuali darurat yang tidak dapat dielakkan.Firman Allah surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan-bulan di sisi hukum Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) di dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langitdan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)."Mengikut maksud ayat ini segala kerja yang baik dan amalan kebajikan tiada halangannya dilakukan pada bulan Muharam, begitu juga dengan bulan Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah, hanya maksiat dan kezaliman sahaja dilarang lebih keras pada bulan yang lainnya.Perkahwinan mengikut pandangan Islam adalah satu amalan kebajikan bukannya amalan kezaliman dan maksiat, oleh itu tiada larangan dalam Islam untuk membuat kenduri kahwin dalam bulan Muharam.Soal memilih ketika seperti hari baik, bulan baik dan waktu yang baik untuk melangsungkan suatu pekerjaan maka tiadalah dalam ajaran Islam yang sebenarnya.Bersempena baik dan bersempena jahat dilarang dalam Islam, yang dikehendakinya ialah kita berserah kepada Allah kerana tiada siapa yang tahu perkara tersembunyi dalam Iradat Allah, qada dan qadar-Nya.Sesetengah ulama Islam berpendapat masalah larangan untuk menganjurkan majlis perkahwinan mungkin timbul daripada puak Syiah kerana kebetulan pada bulan Muharam terbunuhnya Saidina Hussain di Karbala.Jadi sejak itu orang Syiah memandang bulan Muharam sebagai bulan dukacita dan bulan berkabung, maka tidak digalak mengadakan majlis kenduri kahwin dan majlis bersuka ria pada bulan itu.
©New Straits Times (M) Berhad
NotaKakiku: Semoga mendapat menfaat selepas membaca petikan dari NST(M)Berhad
No comments:
Post a Comment