DARIPADA Anas bin Malik bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa sembahyang di masjidku 40 sembahyang (dengan syarat) dia tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan daripada azab seksa dan (ia juga akan bersih ) daripada sifat munafik.”
Begitulah istimewanya Masjid Nabawi di Madinah. Masjid ini disebut Masjid Nabawi kerana Rasulullah selalu menyebutnya dengan kalimah ‘masjidku ini’ setiap kali Baginda menerangkan sebuah masjid yang sekarang berada di pusat kota Madinah.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Sembahyang di masjidku ini lebih utama daripada sembahyang seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram.”
Masjid Nabawi didirikan oleh Nabi Muhammad dan sahabat Baginda pada tahun pertama hijrah (622 Masihi). Luas masjid ini ialah 1,050 meter persegi iaitu di sisi Barat rumah Rasulullah yang sekarang menjadi makam Baginda dan termasuk dalam bangunan masjid.
Berziarah ke Masjid Nabawi adalah masyru' dan dikira ibadat.
Penyataan ini adalah sesuai dengan sabda Nabi yang berbunyi; bermaksud: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis).” (Hadis riwayat Bukhari)
Masjid Nabawi mempunyai banyak sejarah dan kelebihannya dalam Islam. Fungsinya bukan sekadar tempat beribadat, malah menjadi pusat pentadbiran negara dan kegiatan kemasyarakatan.
Kepelbagaian fungsi dan peranan masjid ini turut dijadikan model ahli seni bina, perancang bandar dan tokoh agama dalam pembangunan masjid.
Tanpa merujuk kepada fungsi masjid pada zaman Nabi Muhammad, Masjid Nabawi pada masa ini boleh diambil sebagai model bagi tujuan perancangan bandar.
Masjid Nabawi pada masa ini, walaupun tidak mencerminkan fungsi masjid sama seperti pada zaman Rasulullah, dalam kepesatan pembangunan, permodenan dan perubahan masyarakat, persekitaran yang ditonjolkan olehnya dianggap terbaik selain Masjid al-Haram.
Persekitaran pembangunan yang wujud di sekeliling Masjid Nabawi dan Masjid al-Haram (bukan masjid itu sendiri) hampir kepada apa yang dikehendaki Islam. Pembangunan itu tidak banyak percanggahan dengan dituntut Islam.
Masjid Nabawi menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia untuk beribadah, terutama bagi mereka yang mengerjakan umrah atau ibadah haji.
Di sini letaknya makam rasul yang mulia, Nabi Muhammad serta Saidina Abu Bakar dan Omar. Berhampiran masjid adalah perkuburan al-Baqi' yang ada makam sahabat lain, isteri dan anak Nabi.
Di sekeliling masjid ini ialah tempat penginapan, hotel bertaraf lima bintang, bank, pusat perniagaan dan bazar yang menjual beraneka barangan dari seluruh dunia.
Persekitaran di sekeliling masjid ini bersih dan suci, bahkan boleh dikatakan antara yang terbersih di dunia.
Apabila berjalan di lorong sekitar tempat penginapan dan kawasan perniagaan berhampiran masjid, kita hanya akan mendengar bacaan al-Quran, nasyid serta suara pekedai dan pembeli tawar-menawar.
Sejak jam 3 pagi berduyun-duyun manusia menghala ke Masjid Nabawi untuk menunaikan ibadah dan setiap waktu selepas solat, berduyun-duyun pula pulang ke penginapan masing-masing. Tidak kurang yang membeli-belah di bazar sekitar masjid berkenaan.
Gambaran ini bukan mahu menunjukkan unsur duniawi di sekitar Masjid Nabawi. Sebaliknya, tidak keterlaluan dikatakan perniagaan yang dijalankan hampir keseluruhannya oleh orang Islam, persekitarannya serta kebersihannya boleh dianggap menepati kehendak Islam.
Petikan: Berita Harian 21.2.2006
Salam hormat: Nekaunt
No comments:
Post a Comment